PELAKON kanak-kanak, Rayqal Iskandar, 11, mengakui berasa gembira dan teruja untuk kembali belajar bersama rakan-rakannya di sekolah selepas dua tahun menjalani pembelajaran dari rumah atau home schooling.
Rayqal berkata, dia akan belajar di Sekolah Rendah Sri Pintar Al-Amin tahun depan bagi membuat persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Tahun depan saya akan belajar di sekolah yang sama seperti sebelum ini agar saya lebih fokus untuk menghadapi UPSR.
“Saya berasa gembira kerana dapat belajar dan berjumpa dengan kawan-kawan lama yang dulu sekelas sebelum saya mengambil keputusan untuk belakar di rumah,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, dia juga akan memperlahankan kerjayanya tahun depan bagi memberi ruang kepadanya untuk fokus kepada pelajaran.
“Kalau nak ikutkan, sekarang pun saya dah perlahankan lakonan saya sebab keluarga saya mahu saya fokus belajar dari sekarang.
“Saya mahu kerjaya seni dan pendidikan seiring, saya juga ada cita-cita untuk menjadi seorang penerbit dan pengarah yang berjaya satu hari nanti,” katanya. – MYNEWSHUB.CC