ATLIT renang Amerika Syarikat (AS), Ryan Lochte dan tiga rakan sepasukannya yang lain dilapor telah menjadi mangsa rompakan di lokasi berlangsungnya sukan Olimpik ke-31, Rio de Janeiro, Brazil, awal pagi tadi.
Perompak yang menyamar sebagai anggota polis itu juga turut mengacukan senjata api ke arah dahi Ryan setelah atlit itu enggan menurut perintah untuk duduk di atas jalan raya.
Menceritakan detik cemas itu, Ryan berkata, ketika kejadian dia dan rakan perenang yang lain, Gunnar Bentz, Jack Conger dan Jimmy Feigen sedang menaiki teksi untuk pulang ke penempatan atlit Olimpik.
Namun, teksi mereka kemudiannya ditahan sekumpulan individu yang menyamar seperti anggota polis lengkap berlencana dan memiliki pistol.
“Mereka menunjukkan lencana polis dan kemudiaannya menarik kami keluar dari teksi. Perompak kemudiaannya mengeluarkan pistol mereka dan mengarahkan kami untuk duduk di atas jalan, namun saya seorang sahaja tak berbuat demikian kerana tak tahu atas kesalahan apa kami ditahan.
“Seorang perompak kemudian mengacukan pistol ke arah saya, tapi saya buat tak tahu dan hanya mengangkat kedua tangan sahaja dan pada ketika itulah mereka ambil wang, dompet dan telefon bimbit kami semua,” katanya memetik CNN.
Ryan kemudiaan memuat naik kenyataan di laman sosial mengatakan dia dan rakan-rakan berada dalam keadaan baik dan bersyukur tidak diapa-apakan oleh perompak tersebut. – MYNEWSHUB.CC