PELAKON dan pengacara Hefny Sahad mengakui reda dan akan bersikap profesional apabila dikatakan tiada liputan untuknya darpada program Hlive! selepas dia meninggalkan program tersebut, April lalu.
Hefny, 27; berkata, dia memahami keadaan tersebut berlaku kerana dia membuat keputusan untuk bekerja di bawah program hiburan milik stesen televisyen yang lain.
“Hubungan saya dengan rakan-rakan Hlive! baik sahaja setakat ini. Saya juga tidak tahu yang saya kena banned dengan rancangan itu.
“Tetapi secara profesionalnya saya tidak terasa atau kecil hati kerana mungkin perkara itu berlaku kerana saya beralih ke program lain yang menjadi saingan kepada Hlive!“ katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Hefny berkata, dia tidak digam oleh stesen televisyen Astro kerana mempunyai beberapa projek bersama radio dan drama bawah stesen berkenaan.
“Saya sekarang menjadi penyampai sambilan untuk radio Sinar FM bersama Linda On setiap hujung minggu. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan sebuah drama yang bakal disiarkan di Astro Ria,” katanya.
Tambah Hefny, keputusan untuk meninggalkan program tersebut diambil  bagi melebarkan kerjaya seninya dalam beberapa bidang penyiaran dan lakonan. – MYNEWSHUB.CC