KEMAMAN – Jabatan Perikanan akan menambah 104 tukun tiruan di perairan negara tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri perikanan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan telah memperuntukan lebih RM500,000 untuk tujuan penambahan tukun tiruan jenis kuboid bagi memastikan penambahan populasi ikan serta memulihara sumber perikanan dan habitat marin sedia ada.
“Kita telah mengenal pasti lima lokasi untuk dilabuhkan tukun tiruan ini iaitu empat di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Kemaman, Merchang serta Marang dan lokasi kelima pula di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.
“Tukun tiruan ini mampu meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan pesisiran pantai serta dapat mengurangkan aktiviti pencerobohan pukat tunda.
“Kita dengar banyak kes bot pukat tunda yang menceroboh kawasan darat, bila ada tukun ini mereka (nelayan pukat tunda) tidak lagi akan membuat aktiviti penangkapan ikan di kawasan nelayan pesisir pantai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menurunkan tukun kuboid sebagai simbolik pelancaran tukun tiruan di 9 Batu Nautika Perairan Kemaman di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, projek tukun tiruan menjadi agenda besar dalam negara yang mana bermula pada 2006 menerusi Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) hingga RMK10 (2011-2015), hampir RM50 juta telah diperuntukan kerajaan bagi membina 160 tukun tiruan di seluruh negara.
“Saya harap dalam masa setahun ianya akan dapat membuahkan hasil. Sebenarnya pembiakan ikan akan dapat kita lihat dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang selepas tukun dilabuhkan…tetapi kini, pertambahan populasi itu sudah dapat kita rasa di tempat yang kita letak tukun sebelum ini.
“Tukun akan membantu meningkatkan pembiakan ikan yang mana ia bermula dengan ikan kecil yang bermain di kawasan tukun. Bila ikan kecil banyak, ikan besar akan datang mencari ikan kecil dan ia akan menjadi tempat ikan bermain dan bertelur, sekali gus populasi ikan akan bertambah,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, kawasan yang mempunyai tukun bukan sahaja akan dapat dimanfaatkan oleh nelayan, malah kawasan tersebut juga berpotensi dimajukan sebagai kawasan pelancongan khususnya untuk kaki pancing.
“Kita tahu, terdapat dua jenis tukun tiruan iaitu tukun konservasi untuk pembiakan ikan dan tukun rekreasi…kita harap kawasan tukun ini juga akan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan khusus untuk aktiviti memancing dan menyelam.
“InsyaAllah kita akan kenal pasti kawasan tukun ini untuk diperkenalkan kepada pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya mampu berbangga apabila segala program untuk pemuliharaan hasil perikanan negara semakin meningkat.
“Laporan prestasi ekonomi pada suku kedua mendapati sektor perikanan mencatatkan sebanyak 6.6 peratus yang menjadi antara pertumbuhan yang tertinggi bagi sektor di bawah kementerian,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang membina tukun tiruan iaitu pada 1975 dengan menggunakan tayar terpakai.
Mulai 2006 menerusi RMK9, Jabatan Perikanan telah membina tukun tiruan konkrit iaitu daripada campuran simen, pasir dan batu manakala tetulangnya dihasilkan daripada besi.
Pembinaan tukun tiruan di Malaysia menggunapakai piawaian yang ditetapkan dalam garis panduan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP). – BERNAMA