KEMAMAN – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merayu agar Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut politik di negeri ini.
Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata kemelut itu harus diselesaikan secara bijaksana demi masa depan UMNO dan rakyat.
“Saya merayu kepada semua pihak sama ada menteri besar atau bekas menteri besar untuk memikirkan jalan yang terbaik khususnya bagi masa depan UMNO dan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti.
“Saya bimbang perpecahan akan berlaku dan kita tak boleh mendakwa bahawa UMNO akan sentiasa kuat…saya yang berada di Kemaman pun tidak boleh menjamin bahawa semua kerusi yang ada di sini dapat kita pastikan kemenangan walaupun kita berusaha menjaga rakyat dan walaupun rekod dari segi kecemerlangan UMNO di Kemaman ini ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada 21 nelayan di Kemasik yang dilanda ribut.
Ahmad Shabery berkata kemelut sedemikian juga akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap parti dan sokongan terhadapnya juga mungkin akan terjejas.
“Bila berlaku perpecahan, sokongan keseluruhan berdasarkan kepada anggota UMNO itu mungkin sekitar 45 hingga 48 peratus dan pembangkang mungkin tak sekuat itu tetapi yang menentukan sokongan ialah rakyat yang mungkin tidak berparti…yang mungkin tak berada dalam mana-mana parti politik, tetapi mereka melihat sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang tak boleh duduk sekali, jadi mereka tak ada keyakinan untuk memberikan sokongan kepada parti ini.
“Bagi saya walau macam mana kuat sekalipun seseorang Yang Berhormat menjaga kawasan, menjaga anak buah tetapi bila sebahagian besar rakyat melihat negeri yang diterajui oleh pemimpin yang sentiasa berbalah, mereka akan kehilangan kepercayaan.
“Umpamanya seperti rumah kita, kalau ibu bapa dilihat bergaduh, anak tak mahu balik rumah…baginya siapa betul dan siapa salah tak penting, dia mahukan sesuatu yang aman, mesra dan damai di rumah mereka dan perbalahan yang berterusan ini akan menyebabkan rakyat menjadi keliru dan kekeliruan akan menyebabkan rakyat meninggalkan UMNO. Ini pandangan ikhlas saya, tolonglah cari jalan yang terbaik,” katanya.
Ahmad Shabery berkata sekiranya kemelut itu terus berlanjutan, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan yang selama ini bekerja keras untuk berjasa dan berbakti kepada rakyat juga akan turut musnah.
“UMNO dah banyak buat untuk rakyat dan negeri, kita jaga nelayan yang susah, kita jaga petani yang susah, kita jaga rakyat, kita bangunkan negeri ini tapi ia boleh dimusnahkan akibat perbalahan sesama sendiri.
“Kalau kita sayang parti, kita buat untuk rakyat…bukannya untuk pemimpin. Jangan kita lihat sekarang ini, sekarang perbalahan bukan perbalahan mengenai dasar, perbalahan apa yang kita buat untuk rakyat tetapi perbalahan peribadi atas kedudukan, jawatan.
“Jadi bila melihat cara peribadi, cara perbalahan itu berbeza dengan cara perbalahan berdasarkan ideologi, dasar dan sebagainya… perbalahan peribadi ini tak ada rasionalnya, semuanya berasaskan emosi dan ini tak menguntungkan parti dan negara,” katanya.
Ahmad Shabery menasihatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat keputusan dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kemelut politik dalaman.
“Saya harap supaya semua pihak lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan terutama sekali dalam media kerana apa pun perbezaan dalam kalangan kita seharusnya diselesaikan secara dalaman dan kita mesti bijak mencari jalan dan pendekatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, ” katanya. – BERNAMA