PENYANYI tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza memberitahu akan memulakan kerjaya seninya semula selepas berehat kira-kira selama lima bulan, bermula Mac lalu dan akan mula mengumpul lagu bagi album ke 16 nya.
Menurut Siti, album tersebut dijangka akan dikeluarkan secara rasmi pada awal tahun hadapan.
“Saya akan kembali aktif selepas berehat panjang dan saya sudah mula mencari bahan untuk album terbaharu yang bakal dikeluarkan.
“Saya berharap agar lebih ramai komposer dapat menyumbang lagu untuk kami dengar dan kami akan pilih yang terbaik,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, dia juga bakal merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi dari negara seberang, Judika sebagai salah satu lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut.
“Dalam album itu, saya jga akan memuatkan sebuah lagu duet bersama dengan Judika dan saya akan ke Indonesia untuk menyelesaikan beberapa proses dengan pihak Judika di sana,” katanya.
Siti juga memberitahu bahawa pencarian lagu untuk albumnya ini juga akan melalui proses seperti sebelim ini dimana mereka akan mendengar melodi tanpa mengetahui siapa komposer dan akan memilih yang terbaik sahaja.
jelasnya, itu merupakan cara terbaik bagi mengelakkan rasa pilih kasih dan berat sebelah terhadap lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut. -MYNEWSHUB.CC