KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang mengeluarkan panduan keselamatan untuk orang ramai yang mahu bermain Pokemon Go di negara ini.
SKMM dalam satu kenyataan media berkata, langkah itu seiring dengan panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh beberapa buah negara lain untuk permainan siber itu.
“SKMM sedar permainan Pokemon Go boleh mengundang mudarat kepada orang awam jika perkara-perkara berkaitan keselamatan diabaikan.
“SKMM sedang mempertimbangkan mengeluarkan panduan keselamatan serupa untuk manfaat orang ramai,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, SKMM menyeru orang ramai sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri ketika bermain Pokemon Go bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Mereka juga perlu peka dengan keadaan di sekeliling mereka selain mematuhi peraturan-peraturan sedia ada dan sensitiviti masyarakat setempat,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC