PADAÂ tahun 1994 – saya menguruskan pasukan bola sepak di kawasan perumahan sekitar Cheras. Memiliki lesen Divisyen Dua Liga Kuala Lumpur.
Kerjaya mengurus skuad begini yang tidak glamor langsung, tetapi sangat menyeronokkan. Kawasan perumahan awam yang sarat dan padat, tetapi padang bola sepak hanya sekangkang kera.
Tanpa dana sokongan – pengurus harus berlari ke sana-sini mencari wang dan keperluan penajaan untuk memastikan pasukan mampu berlatih dan bertanding.
Paling penting, memastikan pemain mampu muncul di tepi padang pada hari perlawanan. Dengan 25 pemain serta syarat hanya 18 nama disenaraikan pada tiap perlawanan – ada kalanya mampu bertukar jadi mimpi buruk.
Kalau tengah bulan atau perlawanan pula pada hari bekerja – jumlah pemain mungkin tidak cukup minimum 11 orang sebelum wisel permulaan ditiupkan.
Mengapa?
Sebab pemain yang bekerja tidak boleh bercuti, manakala pemain yang menganggur tidak mempunyai wang ke stadium perlawanan. Menguruskan remaja dalam skuad bola sepak sekitar usia 18 hingga 25 tahun tidak mudah.
Anda bukan menguruskan hal berkaitkan bola sepak sahaja. Ramai yang tidak bekerja. Jadi menguruskan minyak motorsikal pemain supaya sampai ke padang bola, juga skop tugas pengurus.
Malah, kerap juga saya naik turun Ibu Pejabat Daerah Polis Cheras kerana ‘menguruskan pemain’. Tanpa kerja dan tiada wang, pemain pada usia remaja di sekitar perumahan awam yang sarat-barat.
Ada yang terjebak dengan segala macam jenayah. Walaupun bebas dadah – tetapi sebahagiannya sedang memulakan kerjaya jenayah. Pada peringkat awal, hanya pergaduhan, curi motorsikal atau jenayah peras ugut berkumpulan.
Kemudian ia berkembang jadi jenayah lebih dashyat. Banyak padang bola sepak disediakan. Anak muda sekarang, menendang bola bukan sekadar mengisi masa lapang.
Bola sepak mengheret minat anak muda menubuhkan pasukan bola sepak. Mengadakan perlawanan, menyertai liga dan mahukan piala. Itu tidak mudah. Menghidupkan lesen tahunan untuk kekal dalam liga sahaja sekitar RM2 ribu.
Belum jersi lengkap ala-ala the dream team yang memerlukan sekitar RM2 ribu sepersalinan. Elaun perlawanan yang sebenarnya token minyak pula, sekitar RM20 satu perlawanan.
Pengurus bertanggungjawab memenuhi keperluan ini. Soal pemilihan pemain, itu tugas jurulatih.
Ketiadaan pekerjaan, serta keadaan ekonomi keluarga yang tidak membantu untuk menyediakan sokongan kewangan, mengheret pemain berjinak dengan jenayah.
Walaupun total penglibatan bukan kerana bola sepak – tetapi ada yang menyamun untuk mendapatkan sepasang Nike Bueno Aires. Ada yang mencuri motorsikal untuk kegunaan pengangkutan latihan dan perlawanan.
Setelah berpindah saya tidak lagi menguruskan pasukan ini. Barangkali sudah dibubarkan. Cuma saya pernah terserempak berapa bekas pemain atau mendengar kisah mereka selepas tidak lagi bermain bola sepak.
Seorang kini gengster hebat di Cheras. Besar namanya – dan saya mendengar kehebatannya di merata tempat sekitar KL. Seorang lagi menghilang diri sudah lama selepas diburu kerana kes samun bersenjata dan menyebabkan kematian.
Dua orang dipenjara. Barangkali sudah bebas. Manakala beberapa yang lain kini aktif dalam gengsterisme.
Setiap kali melihat padang bola di mana pun kawasan perumahan, serta nampak sekumpulan remaja sedang berlatih secara berpasukan – saya pasti berdoa: “Ya Allah… lindungilah mereka….” – MYNEWSHUB.CC