MIRI – Polis mengenal pasti empat suspek yang mencederakan Tuai Rumah serta isterinya pada 26 Nov tahun lalu berkaitan isu pertikaian Hak Tanah Adat Bumiputera di Bekelilit, Bekenu di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar berkata setakat ini tiga suspek telah ditangkap dengan seorang daripada mereka ialah Mohamad Fitri Fauzi, 29, yang turut ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong pada Jun lepas.
“Dua lain yang ditangkap ialah Tu Kah Chiong, 27, dan Raymond Sim Yeat Choon, 23, manakala seorang lagi masih bebas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dev berkata suspek yang masih bebas serta diburu polis dikenal pasti sebagai Kong Ching Bing@Ah Kiang, 26, yang beralamat di Desa Bahagia, Miri dan Sungai Bidut, Sibu.
“Dalam insiden 26 Nov itu, tuai tersebut Jambai Jali dengan isterinya dicederakan oleh suspek yang bersenjatakan pedang samurai dan kayu besbol di Bulatan Pelita, Jalan Pujut, Miri,” katanya.
Dev berkata Jambai cedera dan luka pada lengan kanan akibat ditikam manakala isterinya cedera di kepala akibat dipukul dengan kayu pemukul besbol.
Ketiga-tiga suspek tersebut didakwa di Mahkamah Sesyen Miri hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dan khianat.
Mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Steve Ritikos yang menetapkan tarikh perbicaraan dari 14 hingga 16 Nov ini dan 5 hingga 9 Dis. – BERNAMA