SEORANG lelaki berusia 30 tahun di Chongqing, China mempunyai satu tabiat yang pelik apabila gemar meminum sabun pencuci pinggan dan syampu.
Tabiat pelik yang dialami oleh lelaki yang dikenali sebagai Zhang Yue itu bermula sejak empat tahun lepas lagi iaitu pada 2012.
Menurut Zhang, ketagihan melampau terhadap cecair pencuci itu membolehkan dirinya menghabiskan separuh daripada isi kandungan cecair berkenaan setiap hari.
Oleh kerana tabiat pelik itu, Zhang sukar untuk mendapatkan teman wanita dan kebanyakan gadis akan menjauhkan diri daripadanya meskipun memiliki nafas yang harum dan segar.
Walau bagaimanapun, perkara itu tidak merungsingkan Zhang, malah dia gembira kerana tabiat pelik yang diamalkan itu, dia semakin dikenali dan menganggap dirinya sebagai ‘artis tempatan’.
Menurut sebuah laman antarabangsa, Zhang pernah mendapatkan rawatan dan nasihat di beberapa hospital tentang kesan yang bakal dialaminya akibat ketagihannya itu.
Namun menurut doktor yang merawatnya, Zhang bebas daripada sebarang kesan negatif dan baik-baik sahaja.
Jelas doktor itu lagi, Zhang mungkin mengalami sejenis penyakit yang digelar ‘Pika’ iaitu pesakit gemar makan sesuatu yang bukan makanan.
Tambahnya lagi, ketagihan yang dialaminya itu hanya akan memberi kesan kepada kanak-kanak dan wanita mengandung sahaja. – MYNEWSHUB.CC