SANGAT menghiburkan! Teater Mencari Sumaiyah yang merupakan percubaan pertama Dira Abu Zahar sebagai pengarah teater ternyata boleh dibanggakan.
Mendapat tunjuk ajar daripada Pengarah Kreatifnya, Datuk Hans Isaac, walaupun jalan ceritanya simple namun garapannya cukup rempah ratus dengan skrip yang cukup segar ilham Junad M. Nor.
Baca:Ă‚Â Mencari Sumaiyah Buah Tangan Pertama Dira
Persembahan empat teraju utamanya iaitu Sherry Al-Hadad, Nadia Aqilah, Ruzana Ibrahim dan Aisya Hasnaa juga sangat memberangsangkan dan keserasian antara keempat-empatnya cukup mantap serta saling melengkapi di antara satu sama lain.
Kelainan karakter empat bintang utama itu juga mewarnai keseluruhan jalan cerita Mencari Sumaiyah yang berdurasi dua jam 30 minit itu.
Naskhah yang diterbitkan oleh Hyper Pictures Sdn. Bhd. dan Tall Order Sdn. Bhd. ini juga cukup bijak menggabungkan unsur-unsur komedi yang tidak terlalu ‘membunuh’ jalan cerita sebenarnya.
Kalau bercakap mengenai komedi, kemampuan Afdlin Shauki dengan ‘makanannya’ itu memang tidak perlu diragui lagi.
Membawakan watak sebagai pengurus Maya Su, Afdlin memang bisa menggeletek hati penonton dengan gaya lakonannya yang cukup santai dan bersahaja.
Beberapa dialog yang dilontarkan Afdlin juga berjaya membuat penonton di Panggung Sari, Istana Budaya, ketawa berdekah-dekah dan penulis percaya ada di antara dialong itu dilontarkannya secara spontan/ad-lib. Memang menjadi!
Kemunculan primadona filem Melayu, Erra Fazira pula membawa aura yang tersendiri dan persembahannya memang tidak mengecewakan.
Berjaya mencorakkan wataknya sebagai Diva Maya Su, watak yang dimainkan Erra ini merupakan titik cerita kepada empat teraju utama tadi, Zaitun, watak yang dilakonkan Sherry, Faridah (Nadia Aqilah), Mariam (Ruzana Ibrahim) dan Salmi (Aisya Hasnaa) yang merupakan tukang jahit di Kampung Rukun.
Mereka berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan dan untuk tujuan itu, wanita-wanita itu perlu merebut geran RM1 juta yang dipertaruhkan badan berkaitan.
Dalam misi mendapatkan ganjaran tersebut, mereka berhijrah ke kota dan memerlukan seseorang yang popular bagi mewakili jenama mereka.
Bertitik tolak dari situ, pelbagai konflik melanda di antara Zaitun, Faridah, Mariam dan Salmi yang boleh meruntuhkan persahabatan yang dijalin mereka sejak kecil lagi.
Namun, demi mengingatkan kembali susah payah dan perit jerih mereka dalam mengejar cita-cita untuk menjadi pereka fesyen yang diiktiraf kebolehannya, keempat-empat wanita itu berjaya menamatkan ranjau yang mula melingkari perjalanan mereka.
Secara keseluruhan persembahan, mesej women empowerment yang cuba disampaikan Dira berjaya diterapkan dengan sebaik mungkin dan membuka mata masyarakat bahawa wanita juga boleh berjaya dan duduk sebaris dengan kaum lelaki sekiranya setiap apa yang dilakukan itu diberikan 100 peratus fokus dan komitmen sepenuhnya.
Teater yang memulakan tayangannya pada 8 Ogos akan terus dipentaskan sehingga Ahad ini.
Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton teater ini dengan membeli tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM80, RM100, RM130 dan RM150.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com atau anda boleh hubungi talian 03-40265558 untuk maklumat lanjut. – MYNEWSHUB.CC