KLANG – Sepasang pegantin dari Johan Setia, di sini terpaksa berputih mata apabila majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan gara-gara kegagalan pihak katering untuk hadir pada hari yang dijanjikan.
Pengantin perempuan yang hanya dikenali sebagai Ain, tidak menduga pihak katering yang ditempah sejak empat bulan lalu akan berbuat demikian kerana bayaran sudah diselesaikan April lalu.
Menurut Ain, hampir keseluruhan majlis tersebut sepatutnya disediakan oleh pihak katering termasuklah pakej pelamin yang berjumlah lebih daripada RM10 ribu.
“Sejumlah wang anggaran RM10 ribu yang dilaburkan kepada pihak katering hilang begitu sahaja. Itu tidak termasuk kerugian-kerugian lain yang terpaksa ditanggung kerana majlis tersebut dibatalkan,” katanya.
Difahamkan, pihak keluarganya sudah menghubungi katering berkenaan untuk mengetahui sama ada persiapan berjalan lancar atau sebaliknya sebelum tarikh majlis perkahwinan iaitu pada 6 Ogos.
“Sehari sebelum majlis perkahwinan, pengurus katering itu masih dapat dihubungi seperti tiada perkara buruk yang bakal terjadi,” katanya.
Pihak pengantin dan keluarganya juga terpaksa menebalkan muka dan menanggung malu apabila terpaksa menerangkan perkara sebenar kepada para tetamu yang tidak putus-putus datang dari jauh kerana tidak tahu mengenai berita pembatalan majlis di saat-saat akhir itu.
Katering yang dipilih oleh pasangan pengantin itu dikhabarnya dimiliki oleh sepasang suami isteri dan dikenali perkhidmatan mereka melalui media sosial Facebook.
Susulan daripada peristiwa itu, pihak pengantin akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak catering tersebut termasuklah membuat laporan pihak polis serta menfailkan saman kerugian kepada pihak yang terlibat.
Berikut disertakan gambar-gambar serta bukti pembayaran kepada pihak katering tersebut.
Apa perasaan anda sekiranya berada di dalam situasi yang sama seperti pasangan Ain dan Nizam ini? Pastinya, sesuatu pengalaman yang sangat mendukacitakan walhal ianya datang dari kesilapan pihak lain.
Harus diingatkan, bukan tujuan kami untuk mengaibkan mana-mana pihak namun ia adalah luahan daripada mangsa sendiri.
Serta sebagai pengajaran kepada semua supaya perkara sebegini tidak akan berlaku kepada orang lain yang sedang merancang untuk menempuh hari bahagia mereka. – MYNEWSHUB.CC