SEORANG pekerja pembersihan jalan warga asing maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), awal pagi Sabtu.
Semasa kejadian itu, Eko Pujiono, 39, sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum tercampak dilanggar kereta BMW.
Akibat rempuhan, mangsa dilaporkan terjatuh ke bawah jambatan di sebatang sungai berhampiran stesen LRT Jelatek.
Ketua Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa yang merupakan rakyat Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, dia menerima panggilan kecemasan itu kira-kira pukul 4.30 pagi dan enam anggota bomba telah dikerah ke tempat kejadian.
Dalam pada itu, pihak polis kini sedang menyoal siasat seorang lelaki berusia 24 tahun susulan kemalangan ngeri tersebut.
Suspek dikatakan memandu laju sebelum keretanya hilang kawalan lalu merempuh penghadang konkrit dan mangsa yang sedang menyapu di bahu jalan. – MYNEWSHUB.CC