PELAKON baharu Raysha Rizrose memberitahu bahawa dia tidak berasa terkilan apabila namanya masih belum dikenali berbanding rakan-rakannya yang menyertai pertandingan Dewi Remaja tahun lalu.
Raysha, 18; berkata perkara itu memberinya peluang untuk belajar dan bermula dari bawah untuk membuktikan bahawa kemunculannya dalam industri bukanlah sekadar ‘tempelan’.
“Tak ada sebab untuk saya rasa terkilan sebab ini semua merupakan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Masa sekarang ini saya gunakan untuk menyiapkan diri dan saya mahu belajar dari bawah kerana saya merupakan pelakon baharu.
“Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. Alhamdulillah kerjaya saya berada di landasan yang baik sekarang ini,” katanya kepada mStar Online.
Raysha muncul dalam filem pertamanya, Dukun Doktor Dani yang menggandingkannya dengan Fasha Sandha, Sabri Yunus, Amirul Affendi dan Taufik Batisah.
Tambah Raysha, dia tidak mengambil pusing apabila namanya sering dibayangi oleh dua kakaknya, Uqasha dan Nelydia Senrose.
Katanya lagi, dia tidak bpleh mengubah pertalian antara mereka dan mengakui akan bekerja keras untuk membuktikan bakatnya tanpa dibandingkan dengan kakaknya itu. – MYNEWSHUB.CC