GARA-GARA gagal mendapatkan duit, lima lelaki mengamuk sehingga salah seorang daripada mereka memecahkan cermin kaunter makanan di sebuah kedai nasi kandar di Jalan Jelutong, George Town, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, lima suspek yang dipercayai pelanggan tetap kedai tersebut pada mulanya dilihat menghampiri kaunter pembayaran dan cuba meminta penjaga kaunter menyerahkan wang yang berada di dalam mesin tunai.
Mangsa seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 33 tahun bagaimanapun enggan memberikan wang tersebut menyebabkan salah seorang suspek berang dan bertindak membaling mesin tunai sehingga pecah.
Salah seorang suspek kemudiannya bertindak memecahkan cermin di kaunter makanan sehingga tangan kanannya cedera akibat terkena serpihan kaca sebelum melarikan diri dengan kereta.
Ketika kejadian, beberapa pelanggan yang kebetulan berada di dalam kedai dan beratur di kaunter makanan terpaksa melarikan diri selepas suspek bertindak memecahkan cermin di kaunter itu.
Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam kedai. Setakat ini pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.
Mangsa yang bimbang dengan kejadian itu dikatakan sudah membuat laporan di Balai Polis Jelutong awal pagi Jumaat.
Rakaman video CCTV yang berdurasi kira-kira lima minit itu kemudian dimuat naik oleh pengguna laman Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia pada hari ini.
Dalam video tersebut dapat dilihat seorang lelaki yang dipercayai suspek memakai baju berwarna putih keluar dan masuk kedai serta bertindak agresif selepas ‘hajatnya’ tidak ditunaikan oleh penjaga kaunter. – MYNEWSHUB.CC