SIAPA yang tidak mengenali lagenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang begitu popular pada era 80 dan 90-an.
Misbun bersama empat adiknya, Razif, Jailani, Rahman dan Rashid merupakan antara nama-nama yang telah mengharumkan negara dengan kecemerlangan sukan badminton yang menjadi ‘makanan’ The Sidek Brothers sejak dari kecil lagi.
Antara kejayaan terbesar Misbun ialah apabila anak didiknya berjaya menggenggam Piala Thomas pada 1992 selepas berjaya mengalahkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan dwitahunan berkenaan yang ketika itu berlangsung di ibu negara.
Kejayaan lain yang boleh dibanggakan Misbun; 56, adalah melatih banyak jaguh-jaguh badminton negara antaranya pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan adiknya, Hafiz Hashim.
Kalau ditonton video di bawah, maka tidak hairanlah kebanyakan anak didik Misbun ‘menjadi’, sebabnya beliau memang seorang yang sangat tegas dan fokus semasa sesi latihan sedang diadakan.
Mungkinkah ada di kalangan anak-anak didik Misbun ini yang berpotensi besar menggantikan tempat yang bakal ditinggalkan Lee Chong Wei?
Moga-moga latihan dan hasil kerja keras berjaya melahirkan generasi baharu yang sama kuat dan hebat seperti Misbun dan Chong Wei agar kegemilangan Malaysia dalam sukan badminton tidak terus pudar, dibiarkan tiada pengganti. – MYNEWSHUB.CC