KEMAMAN – Seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaiki bersama adiknya hilang kawalan dalam kejadian di Km 23, Jalan Mak Lagam-Cheneh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Mohd. Said Ibrahim berkata dalam kejadian pukul 2.50 petang itu mangsa Salmayati Mohamad, 28, maut ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Katanya, ketika kejadian kedua beradik itu yang menaiki motosikal Yamaha LC dalam perjalanan dari Mak Lagam ke Cheneh.
“Motosikal yang ditunggangi adik Salmayati, Nurul Yuslinawati Mohamad, 20, dipercayai terbabas selepas melalui satu selekoh lalu merempuh besi penghadang jalan.
“Mangsa yang membonceng motosikal itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5.46 petang ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
“Adik mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat,” katanya. – BERNAMA