KUALA TERENGGANU – Satu lagi kes kematian akibat demam denggi dicatatkan di Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan 14 mangsa setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar berkata mangsa ialah seorang warga emas berusia 70 tahun berasal dari Kampung Nail, Besut, meninggal dunia Sabtu lepas.
“Mangsa dikatakan demam tiga hari dan dimasukkan ke Hospital Besut sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk rawatan lanjut.Â
“Bagaimanapun dia meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ dalaman yang teruk dan mangsa bukanlah datang dari kawasan wabak,” katanya kepada pemberita di majlis gotong-royong perangi Aedes di Kampung Tok Kaya di sini hari ini.
Selain kampung tersebut, gotong-royong turut diadakan secara serentak di kesemua enam lokaliti wabak denggi iaitu Kampung Masjid Haji Kadir, Jalan Batas Baru, Padang Negara di Kuala Ibai, Taman Teratai yang semuanya terletak di Kuala Terengganu dan Kampung Durian Pahit di Marang.
Sebanyak 1,675 kes demam denggi dilaporkan di Terengganu setakat Rabu lalu iaitu peningkatan sebanyak 133.3 peratus berbanding 718 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.
Dr Mohammad berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 162,846 premis sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,110 premis didapati positif pembiakan nyamuk Aedes.
“Kesemua pemilik premis dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000).
“Di samping itu, 11,602 notis atau amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 juga telah dikeluarkan terhadap premis yang didapati banyak bekas pembiakan,” katanya. – BERNAMAÂ