KALAU memang kreatif dan berbakat, sisa rambut pun boleh menjadi lukisan yang menakjubkan.
Itulah yang dimiliki oleh seorang stylist di bandar Jilin, China yang mengisi masa lapangnya dengan melukis pelbagai imej kartun atau watak filem menggunakan timbunan sisa rambut pelanggan yang dipotongnya di salon.
Menurut Xiaojiu Wang, peralatan yang digunakan semasa melukis hanyalah sekeping kad dan berus rambut.
Antara imej yang pernah dilukis Xiaojiu, 31; adalah Ironman, Wolverine, Bruce Lee, Sakuragi Hanamichi, dan Salon Moon.
“Biasanya saya menghabiskan dua jam untuk menyelesaikan satu gambar, tetapi Wolverine saya mengambil masa tiga jam kerana lebih sukar,” kata Wang.
Lukisan yang dihasilkan di lantai ini sememangnya tidak kekal lama dan akan hilang pada hari berikutnya.
Oleh sebab itu, Wang akan segera mengambil gambar imej tersebut untuk berkongsi di media sosial sebelum membuang sisa itu ke dalam tong sampah. – MYNEWSHUB.CC