BANGKOK – Timbalan Perdana Menteri melahirkan keyakinannya terhadap kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu dalam memelihara kestabilan politik negeri itu “sekurang-kurangnya” sehingga pilihan raya umum akan datang.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau tidak nampak masalah di Terengganu itu sesuatu yang tidak dapat diselesaikan.
“Saya harap kepimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak terjebak dengan permainan politik luaran atau ahli politik yang melayani ‘kekecewaan’ mereka yang telah berada di luar UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau tiba di Bangkok untuk lawatan kerja selama dua hari di sini dan dijadual bertemu timbalan-timbalan perdana menteri Thailand, Wissanu Krea-ngam dan Jen Prawit Wongsuwan, esok.
Ahmad Zahid berkata, beliau maklum tentang “gerakan” dalaman dan luaran yang sedang berlaku dalam politik Terengganu namun tetap yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan UMNO negeri.
Ahmad Zahid berkata parti-parti pembangkang di Terengganu juga memahami bahawa proses untuk menterjemahkan proses demokrasi di negeri itu dilakukan dalam pilihan raya umum dan bukan menerusi cara lain.
Beliau menghargai bahawa parti pembangkang di Terengganu juga memahami sistem demokrasi perlu dijalankan ketika pilihan raya umum dan bukan awal daripada itu.
Mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang penubuhan parti baharu, beliau mengalu-alukannya dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan meluluskan permohonan sekiranya ia mematuhi segala proses dan peraturan.
“Saya arahkan ROS untuk luluskan permohonan itu tetapi ia mestilah mematuhi segala proses dan peraturan,” katanya dan menambah, jangka hayat parti baharu itu akan menjadi perhatian.
Jika ditubuhkan, katanya, jangka hayat satu lagi “parti serpihan” UMNO itu akan menjadi perhatian orang ramai dan menjangkakan ia bakal menerima nasib serupa sebagaimana parti-parti serpihan seperti itu sebelum ini.
“Silakan, jikalau nyawanya (hayat parti baharu itu) panjang daripada parti-parti serpihan yang lain sebelum ini,” kata Ahmad Zahid. – BERNAMA