MAHKAMAH Seksyen Kuala Lumpur, hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membela diri atas dua pertuduhan memiliki tanpa kebenaran dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lalu.
Perintah itu dibuat Hakim Zulqarnain Hassan, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Kata Zulqarnain, pihak pendakwaan membuktikan Rafizi memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan 1MBD yang masih diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi 1972.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 27 September ini untuk perbicaraan kes.
Rafizi yang diwakili peguam Gobind Singh Deo memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Mengikut kertas perbicaraan, Rafizi yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa melakukan perbuatan itu di lobi Parlimen, Jalan Parlimen, 3 petang, 24 Mac lalu.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB.CC