KOTA KINABALU – Lain ditembak, lain pula kena… Bukan satu tapi dua wakil rakyat PKR di Sabah keluar parti untuk menyertai parti lama berwajah baharu berketuakan Datuk Seri Shafie Afdal.
Salah seorangnya wakil tunggal PKR di Sabah iaitu Ahli Parlimen Penampang, Ignitius Darell Leiking (gambar atas, kanan) dan ADUN PKR Moyog, Terrence Siambun, menurut portal berita tempatan AgendaDaily.
Ini bermakna PKR kini hanya memiliki 28 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat setelah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) dipecat pada 2014. Di peringkat DUN Sabah pula, PKR sekarang hanya tinggal enam wakil.
Menurut Leiking beliau mengambil keputusan keluar daripada PKR untuk menyertai Shafie yang memutuskan tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai presiden penajanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya sebenarnya telah pun lama meninggalkan PKR baru-baru ini, tetapi tidak mahu pula mengumumkannya dengan secara terbuka kerana saya tidak suka menghebohkan hal tersebut.
“Bagaimanapun saya telah memaklumkan perkara ini kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen dan memberi sebab berbuat demikian.
“Beliau menghormati keputusan ini, begitu juga dengan saya,” kata Leiking. Ahli Parlimen itu berkata, beliau turut memaklumkan tentang peletakan jawatan tersebut kepada beberapa pemimpin kanan PKR di Sabah dan Pusat.
Leiking namun menjelaskan, beliau akan bekerjasama rapat dengan Shafie dan beberapa pemimpin pembangkang Sabah yang lain untuk menentang Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Terdapat 11 buah parti baharu yang lebih bersifat tempatan dan berjaya ditubuhkan di seluruh Sabah sepanjang 2013 lalu setelah permohonan mereka diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Pendirian kami masih lagi tidak akan berubah iaitu untuk menyelamatkan rakyat Sabah. Kami akan menggunakan segala kekuatan yang ada. Kami tidak pernah berhasrat untuk menentang pihak pembangkang sendiri.
“Matlamat kami masih sama. Kami mahu perjanjian baharu dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia,” ujar beliau sambil menambah bahawa parti yang diketuai Shafie itu tidak akan menerajui Parti USNO Baru.
Sebaliknya ujar beliau, ia sebuah parti berasaskan pelbagai kaum di Sabah. Leiking turut menyertai Shafie ke pejabat RoS di Putrajaya pada Khamis untuk membincangkan hal berkenaan pucuk kepimpinan parti baharu itu.
Turut hadir bersama mereka, ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong (gambar atas, kiri) yang juga keluar UMNO. Ini bermakna BN Sabah kini tinggal 47 wakil, dengan UMNO paling ramai meliputi 30 ADUN.
Dalam perkembangan sama, portal The Star melaporkan ADUN Moyog, Terrence Siambun dijangka mengikut jejak langkah Leiking untuk keluar dari PKR, sekali gus memberi tamparan hebat kepada parti pembangkang itu.
Siambun dipercayai telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR kepada ibu pejabat parti tersebut dengan memaklumkan beliau akan membuat pengumuman pada waktu yang sesuai dalam masa terdekat.
Dengan pengumuman berkenaan, PKR Sabah kini cuma tinggal enam ADUN selepas wakil Kadamaian, Jeremmy Ukoh Malajad mengumumkan sebagai keluar parti itu menjadi sebagai ahli Bebas pada 2013 lalu.
Manakala sekutunya dalam Pakatan Harapan, DAP pula hanya berbaki empat ADUN selepas wakil Luyang, Hiew King Cheu turut keluar daripada parti cauvinis Cina tersebut sejak 2013. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA