KANGAR – Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan perbuatan rasuah pada Oktober tahun lepas.
Sahrill Saadan, 36, didakwa menerima rasuah RM200 daripada seorang pemandu lori Azahar Ahmad, 47, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana memandu lori yang membawa lebih muatan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kaki Bukit menuju ke Jalan Wang Kelian, Padang Besar pada 5.52 petang, 14 Oktober tahun lepas.
Tertuduh kedua, Yusri Yusof, 48, didakwa menerima suapan RM100 daripada pemandu lori sama di Kurong Batang menuju ke Jalan Sungai Batu Pahat pada 2.07 petang pada 13 Oktober 2015.
Penolong penguat kuasa itu didakwa menerima wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan mengikut Kaedah 89, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan 1959) kerana membawa kenderaan lebih muatan.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda dengan nilai suapan atau RM10,00 jika sabit kesalahan.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang lagi penolong pegawai penguat kuasa JPJ, Ahmad Azman Mohamed, 43, didakwa meminta suapan RM200 daripada pemandu lori sama, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu itu yang memandu kenderaan lebih muatan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran kampus utama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di lebuhraya Kuala Perlis-Changlun pada 11.35 pagi pada 28 Oktober 2015.
Ahmad Azman didakwa mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda dengan nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.
Hakim Azman Abu Hassan kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 2 November depan untuk pelantikan peguam dan sebutan kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Hafiizh Abu Bakar. – BERNAMA