MELAKA – Tiga lelaki maut dan tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Machap-Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. A. Asmadi Abdul Aziz berkata mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu adalah pemandu kereta Proton Waja P. Raman, 51; pemandu kereta Toyota Vios, Sin Jia Chung, 22, dan penumpangnya Yong Heh Ah, 22.
Beliau berkata tiga lagi penumpang lelaki kereta Toyota Vios itu, Yau Chin Soon, 22, dan Lee Sue Xuan, 23, cedera parah manakala Lee Lian Kuang, 22, cedera ringan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Katanya kesemua mangsa dalam kereta Toyota Vios itu berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan manakala pemandu Proton Waja berasal dari Kampung Bertam Hulu di sini.
“Kereta Proton Waja yang dipandu Raman dari arah Machap ke Durian Tunggal manakala kereta Toyota Vios yang dipandu Jia Chung bersama empat rakannya dari arah bertentangan.
“Dipercayai Jia Chung hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan perlanggaran sebelum kereta tersebut tercampak ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
A. Asmadi berkata kawasan kejadian adalah gelap kerana tiada lampu jalan selain basah kerana hujan renyai ketika itu.
Katanya ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA