SEREMBAN – Tiga maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM23, Jalan Bahau-Keratong, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira 8.15 malam itu menyebabkan pemandu kereta Proton Perdana, Sha’ri Md Akim, 53, serta pemandu kereta Proton Waja, R. Julie, 34, dan penumpang R. Saniasammah, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mohd Noor berkata tiga yang lain iaitu dua penumpang Proton Waja, P. Rajaispasri, 47, dan K. Srinikha, 6, dan seorang lagi adalah anak Sha’ri, Siti Nur Azreera, 18, mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan lanjut.
“Nahas dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Sha’ri dari arah Bahau ke Muadzam Shah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan. Mangsa kemudian terlanggar kereta dipandu Julie menyebabkan dua kenderaan itu terbabas ke bahu jalan.
“Semasa kejadian kemalangan itu jalan basah akibat hujan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA