PENYANYI Chris Brown telah ditahan atas kesalahan mengacukan pistol kepada seorang wanita di kediaman penyanyi itu, Selasa lepas.
Menurut Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Chris ditahan sebaik menerima panggilan kecemasan seorang wanita pada jam 3 pagi.
Penyanyi yang pernah berpacaran dengan Rihanna itu telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak AS$250,000 (RM1 juta).
Menurut pengadu, Baylee Curran yang merupakan tetamu Chris, penyanyi itu telah mengacukan pistol ke arahnya sebaik sahaja selepas dia memuji koleksi aksesori seorang rakan lelaki yang turut menjadi tetamu Chris.
Sebaik diacu pistol, Baylee telah dihalau keluar dari rumah oleh Chris sendiri.
“Saya tak nak sesuatu buruk berlaku, sebab dia memang mengacukan pistol ke arah saya.
“Pada mulanya saya hanya memandang dari jauh dan kemudian memuji koleksi barang kemas yang dikeluarkan oleh seorang kenalan.
“Selepas itu, Chris mula naik berang dengan berkata; ‘Saya dah bosan dengan kamu semua’.
“Dan pada masa itulah dia keluarkan pistol dan acukan ke muka saya sambil menjerit dan menghalau saya keluar dari rumahnya,” cerita Baylee.
Susulan ancaman itu, Baylee mendail talian kecemasan yang kemudiannya membawa kepada penahanan Chris selepas pihak polis berjaya mendapatkan waran tangkap untuk menahan selebriti tersebut. – MYNEWSHUB.CC