IPOH – Seorang pelanggan McDonald’s mendakwa adik perempuannya mengalami kecederaan di bahagian tekak akibat tertelan serpihan kaca selepas meminum ‘ice blended‘ di restoran makanan segera itu, Isnin lalu.
Gambar penemuan serpihan itu dimuat naik oleh abangnya, Syamil, menerusi laman Twitter yang mana telah menerima  22,000 perkongsian dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
“Lepas ni berhati-hati guys. Pergi McDonald’s korang tengok ada tak benda ni, semalam adik aku dah kena. Habis berdarah trakea adik aku guys 😢,” tulisnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, di McDonald’s cawangan Pengkalan Station 18 itu, mangsa, Nur Jannahtul Sazali, 12, pada mulanya menikmati makan malamnya bersama keluarganya di restoran itu.
Namun dia hanya menyedari airnya mengandungi serpihan kaca tersebut selepas merasakan tekaknya terasa sakit.
Difahamkan, keluarga mangsa telah membuat aduan mengenai perkara itu kepada pihak restoran. Namun respons yang diberikan tidak begitu memuaskan hati mereka.
“Mereka (pihak McDonald’s) kata, biasalah manusia pernah membuat kesilapan,” kata Syamil di laman Twitternya.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Menurut Syamil, doktor telah mengesahkan bahawa trakea adiknya cedera dan berdarah serta serpihan kaca bercampur plastik itu telah masuk ke dalam usus adiknya.
Ekoran kejadian itu, keluarga mangsa pada Rabu telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh pada pukul 10.13 pagi, dan dia turut memuat naik gambar bukti surat doktor bagi mengukuhkan dakwaannya itu.
Menurut Syamil, keluarganya mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap restoran tersebut.
Sementara itu, pihak McDonald’s Malaysia menerusi laman Facebook memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha menghubungi Syamil bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.
“Pihak kami sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan yang dibuat dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Semestinya keselamatan dan kesejahteraan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami mohon pertimbangan semua pihak tatkala kami berusaha untuk menyiasat perkara ini,” kata kenyataan yang dimuat naik pada malam Selasa. – MYNEWSHUB.CC