KOTA BHARU – Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum terutama dalam pasukan badan beruniform mampu menjadi benteng daripada terjebak kes jenayah, dadah dan gejala sosial.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab Rahman Ismail berkata menerusi kegiatan kokurikulum, pelajar dapat mendisiplinkan diri, sekali gus boleh menjadi contoh kepada pelajar lain.
“Sejak kebelakangan ini pembabitan pelajar dalam kes jenayah, dadah dan gejala sosial amat membimbangkan.
“Masalah ini jika tidak ditangani dengan bijak akan menjadi barah yang boleh merosakkan masa depan remaja dan masyarakat. Justeru pelajar seharusnya membabitkan diri dalam aktiviti sihat seperti Kor Kadet Polis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi perkhemahan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (KKPDRM) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Seramai 33 pelajar tingkatan dua dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat akan menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan KKPDRM di Kem Pengakap Tengku Muhamad Ismail dekat Telaga Batin, Kuala Nerus, Terengganu bermula esok sehingga Khamis. – BERNAMA