BANGGA dengan pakaian tradisional, anak kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng kelihatan memukau apabila mengenakan baju kebaya ketika menghadiri acara tahunan Anugerah Emmy (Berita & Dokumentari) ke-37 di New York, Rabu lalu.
Si Teng yang merupakan penerbit dan wartawan video untuk The New York Times (NYT) memuat naik gambarnya berbaju kebaya berwarna merah di laman Facebooknya, Khamis lalu.
Kehadirannya ke majlis anugerah tersebut selepas dokumentari Flirting With the Islamic State yang dihasilnya bersama Ben Laffin tercalon untuk Anugerah Emmy dalam kategori Temuramah Cemerlang.
Walaupun dokumentari tersebut gagal memenangi anugerah tetapi Si Teng mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang memberikan sokongan kepadanya.
“Saya dari Pulau Pinang, Malaysia, dan apabila saya terlibat dalam bidang kewartawanan, saya berfikir untuk melakukan laporan seperti ini adalah di luar jangkaan.
“Terima kasih kepada keluarga dan mentor serta bekas rakan- rakan atas bimbingan mereka,” katanya yang turut menamakan bebarapa nama rakannya di Facebook.
Dokumentari berdurasi lapan minit itu memaparkan temubual pengalaman seorang wanita yang tinggal di kawasan pendalaman dengan seorang lelaki British.
Lelaki tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan IS atau Daesh dan temubual berkenaan dianggap sebagai pendedahan mengenai kaedah yang digunakan untuk merekrut ahli baharu.
Si Teng yang berusia 32 tahun itu kini bekerja sebagai penerbit kanan di stesen Al Jazeera berjanji untuk terus menghasilkan lebih banyak dokumentari. – MYNEWSHUB.CC