PENYANYI bersuara lantang, Anuar Zain kini tampil dengan sebuah album baharu untuk mengubat rindu peminat-peminatnya.
Selepas lima tahun berdiam diri, album yang berjudul ‘Anuar Zain’ itu bakal dilancarkan pada 19 September depan di sebuah hotel di ibu negara.
Seperti kebiasaannya, penyanyi yang sinonim dengan lagu berentak balada ini turut mempertaruhkan single terbaharunya Andainya Takdir menambahkan lagi koleksi lagu hits sedia ada.
Sebelum ini, dalam album terdahulu, lagu seperti Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Lelaki dan Sedetik Lebih menjadi antara lantunan balada yang cukup digemari peminat setianya.
“Saya anggap semua lagu dalam sesebuah album adalah istimewa. Jadi, tidak ada spesifik atau berat sebelah kepada satu lagu semata-mata,” katanya kepada BH Online.
Meskipun telah menginjak usia 46 tahun, Anuar bersyukur masih kuat dan mendapat sokongan daripada keluarga, sahabar dan peminatnya.
“Pada usia 46 tahun dan bersama pengalaman hidup, ia lebih menjadikan saya insan yang kuat, reda dan tabah.
“Alhamdulillah, dengan izin-Nya, saya ada keluarga, sahabat dan peminat yang memberi sokongan tanpa jemu selain sering mengutuskan doa.
“Usia itu hanya angka dan saya menikmati keindahan hidup ini seadanya. Sama ada saya meningkat tua menawan atau tidak, semuanya terletak kepada penelitian orang lain,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC