IPOH – Seorang anggota polis berpangkat koperal ditangkap bersama dadah dipercayai jenis heroin di sebuah hotel di sini Khamis
lepas.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong selepas kes penangkapan berkenaan menjadi viral di media sosial sejak semalam.
“Saya sahkan kes (penangkapan) itu,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Berdasarkan laporan media sosial itu, anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Khantan Baru di sini ditangkap di sebuah hotel di Chemor kira-kira pukul 2.30 petang 8 Sept.
Pemeriksaan fizikal ke atas suspek yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1981 menemukan enam paket plastik lutsinar dipercayai heroin di dalam poket jaket yang dipakai.
Selain itu, satu pucuk pistol jenis Smith & Wesson beserta lima peluru, satu buku saku PDRM dan satu kad kuasa juga ditemukan bersama suspek.
Sum bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penangkapan itu selain hanya mengesahkan kes.  – BERNAMA