KOTA KINABALU – Seekor anjing yang kepalanya terperangkap dalam bekas plastik di tempat pembuangan sampah di kawasan perumahan pinggir bandar raya ini akhirnya diselamatkan oleh renjer Unit Penyelamat Hidupan Liar.
Operasi menyelamat dibuat selepas seorang pegawai kanan Jabatan Hidupan Liar Sabah menerima panggilan mengenai insiden membabitkan anjing liar yang terperangkap dalam bekas plastik ketika mencari makanan di kawasan perumahan Taman Inanam Laut di sini.
Pasukan yang diketuai doktor haiwan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Dr. Nabila Sarkawi memberikan ubat penenang kepada anjing itu sebelum mengeluarkan bekas plastik dari kepalanya.
Pasukan itu kemudiannya memberi rawatan kepada haiwan itu, demikian menurut Unit Penyelamat Hidupan Liar menerusi catatan di Facebook.
“Anjing itu mengalami dehidrasi kerana mungkin tidak makan atau minum selama beberapa hari.
“Ia mungkin tidak akan mampu bertahan jika terperangkap untuk tempoh 36 jam lagi,” kata Dr. Nabila.
Anjing itu kemudian dibawa ke SPCA Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Mereka menamakan anjing itu sebagai ‘Plasty’ kerana dia dijumpai terperangkap dalam bekas plastik. – mStar Online