GERIK – Pemandangan rimba hijau dan suasana tenang yang menemani pengguna di sebahagian besar laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli, sejauh 215 kilometer, boleh terganggu dengan sekelip mata.
Ini kerana banyak kali pengguna jalan raya itu mengalami saat-saat yang mencemaskan apabila terserempak dengan gajah atau segerombolan gajah yang berkeliaran di tepi jalan atau sedang melintas jalan.
Terserempak dengan haiwan liar dan besar itu sememangnya mencetuskan rasa penuh debaran dan ketakutan. Apa tah lagi haiwan terbesar di darat itu boleh bertukar ganas.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Noor Alif Wira Osman, gajah liar yang menceroboh lebuh raya itu mendiami Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di sini.
Beliau berkata, gajah liar di kawasan berkenaan yang dianggar melebihi 60 ekor itu mewakili kira-kira 70 peratus populasi mamalia itu di seluruh Perak.
“Terdapat lima kumpulan kecil gajah dikesan menjadikan beberapa kawasan di jalan sepanjang 80 kilometer itu sebagai tempat berkeliaran. Pada kebiasaannya, gajah liar akan berkeliaran pada awal pagi dan lewat malam, bergantung kepada faktor cuaca,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Menceritakan detik cemas ketika terserempak dengan gajah, seorang penjawat awam Zuraidah Salleh, 41, berkata beliau pernah terserempak dengan haiwan liar itu ketika berulang alik dari Ipoh-Kelantan beberapa tahun lepas.
Semasa dalam perjalanan dari Kelantan ke Ipoh kira-kira pukul 4.00 pagi, beliau terserempak dengan beberapa ekor gajah yang berada di tengah jalan.
“Keadaan jalan Gerik-Jeli ini banyak selekoh… semasa tiba di lokasi itu saya memang terkejut sangat sebab tak sangka gajah ada di situ.
“Ketika itu keadaan gelap, saya panik dan hanya mampu bertawakal sahaja. Saya duduk diam dalam kereta dan tak mampu berbuat apa-apa.
“Berapa lama saya berhenti di situ, saya sendiri tidak sedar, tetapi bagi saya ketika itu jam seakan terhenti dan ia masa yang paling lama saya lalui,” katanya.
Jabatan itu ada menerima laporan berkaitan kes kemalangan jalan raya dan kemusnahan tanaman penduduk di kawasan berhampiran yang disebabkan oleh haiwan liar itu.
Menurut Noor Alif, sebanyak enam aduan mengenai kerosakan tanaman di perkampungan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini direkodkan pada 2015, dan dua aduan sehingga ini pada tahun ini.
Baru-baru ini, anggota Perhilitan telah menangkap seekor gajah jantan liar yang diberi nama ‘Awang Perah’, berumur lebih 30 tahun, kerana berkeliaran berdekatan hentian Perah yang menjadi tumpuan orang ramai yang melalui lebuh raya itu.
Gajah jantan liar itu juga didapati memusnahkan tanaman penduduk seperti pokok pisang di Kampung Perah sejak beberapa bulan lepas dan berkeliaran di kawasan-kawasan penempatan.
Sementara itu, Noor Alif berkata pihaknya juga menerima satu laporan kemalangan membabitkan gajah dan kenderaan berat pada 2011 manakala satu kes melibatkan gajah dan kenderaan pacuan empat roda pada 2014.
Menurut Noor Alif, walaupun lintasan hidupan liar dikenali sebagai ‘viaduct’ telah diwujudkan di Kilometer 157, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, namun haiwan liar termasuk gajah tetap menceroboh lebuh raya.
Lintasan sepanjang 200 meter yang dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 2015 adalah antara usaha untuk mengurangkan risiko ancaman dan gangguan gajah liar kepada pengguna jalan raya.
“Lintasan itu menghubungkan Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembinaannya di kawasan ini adalah untuk memastikan hidupan liar serta pengguna jalan raya bebas daripada pencerobohan gajah setiap hari,” katanya.
Selain itu, Perhilitan juga memasang lapan papan tanda besar dan 15 papan tanda kecil peringatan gajah liar melintas sebagai panduan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemantauan berterusan juga dijalankan oleh kakitangan jabatan itu sepanjang masa di kawasan berkenaan,” katanya.
Noor Alif turut mengingatkan orang ramai terutama pemandu supaya tidak cemas jika terserempak dengan haiwan liar dan tidak membunyikan hon kereta, sebaliknya memberi laluan kepada haiwan berkenaan untuk melintas.
“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya tidak keluar dari kenderaan, tidak menghampiri dan membaling objek ke arah hidupan liar serta memalapkan lampu kenderaan ketika waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Alif berkata Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) juga telah dipasang di perkampungan RPS Banun di sini yang terletak di kawasan Hutan Simpan Temenggor bagi mengelak haiwan itu memusnahkan tanaman penduduk.
Pagar elektrik sepanjang 12 kilometer itu dipasang dan diselenggara oleh jabatan itu dalam usaha melindungi beberapa buah kampung daripada ancaman gajah.
Taman Negeri Royal Belum meliputi kawasan seluas 117,500 hektar daripada keseluruhan keluasan 300,000 hektar Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor.
“Taman Negeri Royal Belum merangkumi sebanyak 17.9 peratus daripada keseluruhan keluasan Perak dan ia merupakan taman negara ketiga terbesar selepas Taman Negara di Pahang dan Taman Banjaran Crocker di Sabah.
“Taman Negeri ini juga dikenalpasti sebagai antara habitat kepada spesies hidupan liar yang terancam seperti badak Sumatera, gajah, harimau, tapir, seladang dan spesies primat antaranya ungka tangan putih serta siamang,” kata Noor Alif. – BERNAMA