MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas pernikahan baginda, baru -baru ini.
Azmin yang ditemui pada Jamuan Rakyat di Masjid Bagan Terap, Sabak Bernam berkata, kerajaan dan rakyat gembira dengan pernikahan dan perkembangan baru dari istana.
“Saya bersama pimpinan negeri, anggota perkhidmatan awam dan seluruh rakyat negeri Selangor berasa amat gembira dengan berita yang diterima awal pagi tadi.
“Kami mendoakan semoga Tuanku berbahagia bersama keluarga dan terus sihat untuk memerintah negeri ini dengan lebih aman, makmur dan sejahtera,” katanya.
Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabulkan dengan penyampai berita RTM, Norashikin Abdul Rahman pada 31 Ogos lalu di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Norashikin, 45, bekas pramugari Malaysia Airlines pernah berkahwin dengan Mustapha Kamal Halim, seorang juruterbang Etihad Airlines dan dikurniakan dua orang cahaya mata. – MYNEWSHUB.CC