TIDAK jangka aktiviti bersih anjung rumah dengan pagar terbuka mengundang bahaya apabila seorang suri rumah diserang seorang lelaki bersenjatakan parang di Lengkuk Sri Siantan, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi Isnin itu, Aminah Abdullah Thani, 62, menjerit memanggil suaminya, Zaman Huri Md Napis, 63, yang berada di dalam rumah apabila penjenayah cuba meragut rantai lehernya.
Dia melarikan diri ke bahagian belakang rumah sebelum terjatuh apabila penjenayah melibaskan parang ke arahnya.
Zaman Huri cuba menghalang suspek daripada masuk ke dalam rumah sebelum cedera di tangan akibat terkena parang.
Cubaan penjenayah untuk masuk ke dalam rumah gagal apabila pasangan suami isteri itu menjerit meminta tolong daripada jiran terdekat.
Suspek yang memakai topi keledar, berkaca mata itu melarikan diri bersama sekumpulan penunggang motosikal yang terdiri daripada lima hingga enam orang.
Kejadian ini dikongsikan beberapa netizen menerusi laman Facebook sejak semalam.
Susulan kejadian tersebut, mangsa mengalami luka yang dalam antara ibu jari tangan kiri dan jari telunjuk sehingga tulangnya dapat dilihat dan juga beberapa kesan lebam di kepala.
Satu laporan polis sudah dibuat dan difahamkan sebelum kejadian itu, suspek yang sama pernah menyerang rumah jiran mangsa dan berjaya merampas seutas rantai leher. – MYNEWSHUB.CC