PENDUDUK di Dhaka, Bangladesh terpaksa berdepan dengan situasi tidak menyenangkan dengan takungan air ‘berdarah’ selepas hujan berterusan melanda bandar tersebut pada hari perayaan Aidiladha, Selasa lalu.
Akhbar tempatan Dhaka Tribune melaporkan, takungan air hujan yang bercampur dengan darah haiwan korban menyebabkan bandar raya ibu kota Bangladesh itu seumpama dilanda ‘banjir darah’
Penduduk mengutuk tindakan dua syarikat pembersihan yang bertanggungjawab ke atas kebersihan di 1,000 tempat yang dikhaskan kepada penduduk untuk melakukan ibadah korban iaitu 496 kawasan di utara dan 504 kawasan di selatan.
Namun, dua syarikat tersebut dikatakan gagal menjalankan kempen hingga menyebabkan penduduk melakukan ibadah korban mengikut keselesaan mereka termasuk di hadapan rumah.
Kejadian banjir ‘darah’ ini jelas menunjukkan syarikat-syarikat tersebut gagal memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan tidak memandang serius dengan perkara itu sebelum sambutan hari raya korban.
Timbalan Ketua Pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Bandar Selatan Dhaka, Khandker Millatul Islam berkata masalah air bertakung di ibu negara itu adalah satu masalah lama.
“Kami masih mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.
“Kami sudah mengarahkan pihak berkenaan untuk pam dan bekerja, jadi kami harap masalah ini akan selesai tidak lama lagi,” katanya. – MYNEWSHUB.CC