SEREMBAN – Sebanyak 29 penumpang sebuah bas ekspres dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terselamat apabila kenderaan itu terbabas di bahu jalan dan terhumban ke dalam longkang di Kilometer 244, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS (arah utara) dekat Rembau, hari ini.
Penolong Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.06 pagi.
Beliau memberitahu Bernama dua jentera bersama seorang pegawai dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang segera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pemandu dan kesemua 29 penumpang bas iaitu 21 lelaki serta lapan wanita terselamat dan dikeluarkan dari bas itu dengan bantuan anggota bomba,” katanya.
Beliau berkata hanya seorang wanita penumpang bas terbabit mengalami cedera ringan di kaki. – BERNAMA