KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian di bawah kendalian Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) akan ditutup empat hari kepada pengguna, mulai Isnin depan.
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sementara itu bertujuan melancarkan kerja penyelenggaraan di kawasan R&R serta hentian terlibat.
Hentian yang akan ditutup di Lebuhraya Utara-Selatan ialah kawasan R&R Tapah (Arah Utara) di KM332.3 pada 26 dan 28 September pada 8 pagi hingga 5 petang manakala R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) di KM219 akan ditutup pada 27 September dari 9 pagi hingga 4 petang.
Kawasan Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Utara) di KM209.4 akan ditutup pada 27 dan 29 September bermula 8 pagi hingga 5 petang.
R&R Seremban (Arah Selatan) di KM272.2 dan di KM274.4 akan ditutup dua hari mulai 28 hingga 29 September ini bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Sepanjang kerja penyelenggaraan ini dijalankan semua gerai, kiosk dan kemudahan awam lain akan ditutup kepada orang ramai, kecuali stesen minyak masih dibuka seperti biasa,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA