SERAMAI 110 orang pelancong melalui pengalaman penuh mendebarkan apabila beberapa buah kereta kabel tersangkut di gunung Mont Blanc, Alps, Itali pada Khamis.
Lebih malang, pihak penyelamat kecemasan tempatan hanya mampu menyelamatkan 65 orang dengan menggunakan helikopter berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Berikutan itu, mangsa yang tidak dapat diselamatkan pada hari yang sama dilaporkan terpaksa bermalam dalam kereta kabel hingga keesokan pagi, menurut media Itali.
Bagaimanapun, hingga kini tidak diketahui punca sebenar yang menyebabkan insiden kerosakan teknikal itu, atau sama ada berlakunya bekalan elektrik terputus.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang waktu tempatan itu, kesemua mangsa terperangkap pada ketinggian 3,778 meter dari permukaan tanah dan 797 kilometer dari ibu kota Itali, Rom.
Kereta kabel berkenaan menghubungkan puncak Aiguille du Midi ke Pointe Helbronner dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke destinasinya.
Mont Blanc merupakan puncak tertinggi dalam Banjaran Alps dan menjadi mercu gunung tertinggi di Eropah pada luar julat Caucasus. – MYNEWSHUB.CC