AKTOR dan produser Hans Isaac dikatakan telah memeluk Islam di sebuah negeri di Pantai Timur pada awal tahun ini.
Desas-desus ini dikeluarkan oleh sebuah laman gosip tempatan yang mendakwa pelakon tinggi lampai itu telah pun menukar agamanya.
Bagaimanapun, kesahihan khabar angin yang tersebar itu tidak dapat dipastikan memandangkan laman tersebut juga hanya mendapat berita itu dari seorang sumber yang tidak didedahkan identitinya.
Tambah laman itu, pihaknya juga masih samar dan tidak dapat memastikan siapa individu yang terlibat dalam urusan hal-hal berkaitan penukaran agama Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac.
Jelas laman itu lagi, sekiranya dakwaan dan informasi yang disampaikan oleh sumbernya benar, mereka mendoakan yang terbaik buat aktor serba boleh ini.
Terdahulu, Hans juga pernah dikatakan sedang mendalami agama Islam. Meskipun cerita ini tersebar di laman hiburan, namun tiada kenyataan rasmi daripada empunya badan.
Apa-apa pun hanya Hans ada jawapannya sama ada khabar angin ini betul atau pun tidak. – MYNEWSHUB.CC