MALANG menimpa seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan pangsapuri ketika cuba memasuki rumah melalui tingkap.
Dia berbuat demikian selepas disuruh oleh datuk dan neneknya kerana pintu rumah mereka terkunci dari dalam. Kejadian berlaku di bandar Sichuan, China.
Budak berkenaan menggunakan tali yang diikat ke badannya oleh datuk dan neneknya, sebelum turun dari bumbung bangunan untuk masuk melalui tingkap rumahnya.
Bagaimanapun ketika sedang turun separuh jalan, tali itu telah putus mengakibatkan budak tersebut jatuh dan meninggal dunia serta-merta.
Dia menetap bersama datuk dan neneknya selepas ibu bapanya bercerai. Ibu dan bapanya masing-masing telah berkahwin lain dan mereka menetap di bandar lain.
Polis yang dipanggil ke tempat kejadian menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu kemalangan. Ibu bapanya kini dilaporkan dalam perjalanan pulang untuk menziarahi mayatnya. – MYNEWSHUB.CC