KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus kilang didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan memohon kerja Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah kolej lima tahun lalu.
Hakim Mardihah Harullah membuat keputusan tersebut setelah Maskim Abdullah, 59, mengaku bersalah atas dakwaan memalsukan Ijazah Sarjana Muda atas namanya di Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur pada 30 September 2011.
“Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Maskim boleh dipenjara 10 bulan. Dia yang sebelum ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau keduaduanya sekali,” kata SPRM dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut SPRM, pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Wan Mohd. Buhori Wan Mohd. – MYNEWSHUB.CC