Sempena Muharam 1438H ini, saya nak kongsi sedikit pengalaman menemubual saudara Joharry Abdullah ataupun namanya dahulu Harinder Pal Singh.
Kisah jejaka berumur 23 tahun ini pernah viral sewaktu beliau dibuang kerja kerana melafazkan kalimah syahadah depan ribuan penonton yang menyaksikan ceramah perdana Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Disebabkan itu beliau telah dihalau dari rumah sewanya, dipulaukan rakan-rakan dan ditawarkan ‘sejumlah’ wang untuk meninggalkan Islam serta merta.
Lebih parah, rakan-rakan kampungnya di India menganggap beliau seorang militan! Itu belum lagi dicampur masalah ditipu ejen pengurus permit dan lain-lain.
Tragis bukan?
Tapi Joharry seorang Muslim yang hebat. Selepas 6 bulan, saya bertemu semula dengannya untuk buat follow up kehidupan selepas memeluk agama Islam.
Waktu berjumpa mukanya tenang, penuh senyuman, berjubah dan paling penting dah pandai solat serta baca beberapa surah Al-Quran!
Sewaktu temubual, banyak cerita gembira yang dikongsikan. Alhamdulillah saya gembira melihat kemajuan beliau.
Tak kurang juga cerita sedih & kecewa yang diluahkan. Menghampiri setengah tahun, belum pun ada satu kerja tetap untuk menyara diri, menyewa rumah dan lain-lain.
Yang tinggal, hanya seorang kawan bernama Johan. Setia membantu apa yang boleh dengan kadar kemampuannya.
Waktu tu mulut saya pantas menyoal :
“Takkan lah langsung tak ada orang tolong? Mana mungkin seorang chef makanan Punjabi & Western ini langsung tak dipandang?”
Hanya senyuman yang terukir.
Saya faham. Beliau tidak mahu beri sebarang tanggapan negatif.
Saya tanya lagi :
“Joharry macam mana awak hadapi situasi ni?”
Joharry balas dengan nada rendah dan kecewa :
“Mereka semua tinggalkan saya, halau saya dari rumah. Fitnah saya macam-macam. Saya sakit tiada yang nak tolong. Saya tak ada kerja. Tapi tak apa, saya ada Allah. Saya ada Allah. Hati saya tenang bila solat.”
Senyumannya berubah kerana menahan sebak dan air mata mula bergenang.
Suasana persekitaran jadi sunyi.
Allahuakbar! Air mata saya juga hampir mengalir lihat ketabahan dirinya. Saya tau Joharry sedang berperang dalam diri untuk terus ISTIQAMAH dalam jalan ini.
Jujur, kalau saya ditempat itu entah ke mana la saya agaknya.
Dalam nada lembut dia berkata lagi :
“Saya akan terus dengan agama Islam. Biar apa pun. Saya akan cuba jelaskan kepada orang di luar sana apakah Islam yang sebenarnya”
Jadi lepas tu saya berjanji dengannya, saya akan cuba bantu. Saya tak mampu bantu dari sudut kewangan, tapi sebagai wartawan saya cuba bantu dengan perkongsian ini.
Diharapkan saudara Joharry terus tabah dan istiqamah melalui kehidupan mendatang. Ingat! Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.
Hijrahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Salam Maal Hijrah 1438H.
Oleh Fadzil Harris