LONDON – Seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan polis kerana menumbuk muka seorang bayi berusia lima hari di sebuah pasar raya di Manchester pada Selasa lalu.
Menurut sebuah laman antarabangsa, bayi dikenali sebagai Elsie Rose Duckers pertama kali dibawa keluar oleh ibunya Amy Duckers untuk membeli-belah di pasar raya Tesco.
Difahamkan, sewaktu kejadian itu berlaku, Duckers ditemani suaminya, Lewis Temple, 24 dan anak perempuannya, Libby yang berusia tujuh tahun.
Suspek yang merupakan warga emas itu secara tiba-tiba menghampiri mereka ketika sedang berbual dengan seorang jiran yang ditemui di pasar raya itu.
Tanpa diduga suspek tiba-tiba melepaskan tumbukan ke muka Elsie.
Bagaimanapun menurut Duckers, suspek memohon maaf kepadanya kerana menyangka bayi berkenaan adalah patung.
“Saya terkejut dengan kejadian yang berlaku apatah lagi bagi Elsie yang kali pertama keluar daripada rumah.
“Insiden itu membuatkan saya trauma untuk membawanya keluar semula,” katanya.
Ekoran kejadian itu, Elsie terpaksa dirawat selama tujuh jam di Hospital Wythenshawe dan keadaannya dilaporkan stabil.
Mengulas tentang insiden tersebut, Polis Greater Manchester berkata, suspek yang tidak didedahkan identitinya telah ditahan untuk siasatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC