KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sepatutnya mengeluarkan sesuatu tuduhan melulu tidak berasas dan mengikut perasaan terhadap individu yang tidak sependapat dengannya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata Dr. Mahathir perlu menerima hakikat bahawa keadaan sekarang sudah tidak sama seperti dahulu dan beliau tidak boleh membuat sebarang tuduhan tanpa bukti sekadar kerana berbeza pendapat dengan seseorang itu.
“Saya melihat Tun Dr. Mahathir membuat beberapa kenyataan yang agak berubah setiap kali kerana bagi beliau yang konsisten adalah berubah jika beliau melihat seseorang itu tidak selari dengan pandangannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga KKMM di Kelantan di sini, hari ini.
Salleh berkata Dr. Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sepatutnya bertanggungjawab untuk menentukan parti itu berkembang dan mendapat sokongan rakyat.
Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai artikel terbaru Dr. Mahathir di blognya Chedet.
Dr. Mahathir mendakwa beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan sama seperti Josep Goebbels yang terkenal sebagai menteri propaganda pada zaman pemerintahan Nazi di Jerman. – BERNAMA