Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Repatriasi: Singapura Zahir Penghargaan...

SINGAPURA -  Kerajaan Singapura hari ini menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan Kedutaan Malaysia...

Operasi Masyair Tamat, Berjalan...

MAKKAH - Operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji, berakhir secara rasmi malam...

Najib Ucap Takziah Kemangkatan...

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak sembah takziah...

Buktikan Batal 3 Projek...

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk membuktikan pembatalan projek Laluan Kereta Api Pantai...

Elak Ketagih Permainan Maya Hingga Ganggu Privasi

KUALA LUMPUR – Sudah lebih sebulan permainan Pokemon Go dilancarkan di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, namun hingga kini kegilaan terhadap permainan maya itu masih belum lagi surut dan terus menjadi sebutan.

Kawasan yang menjadi ‘sarang’ dan terkenal dengan ‘kemunculan’ pelbagai karakter kartun itu, seperti taman permainan, pusat beli-belah dan rumah ibadat, dibanjiri pemain pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak hinggalah dewasa.

Tasik Taman Jaya di Petaling Jaya misalnya, yang dahulunya agak lengang, kini menyaksikan kepadatan pengunjung yang terlampau tinggi. Semuanya kerana memburu Pikachu, salah satu watak dalam permainan itu, hinggakan sekitar 200 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di kawasan tasik itu setiap hari atas pelbagai kesalahan lalu lintas oleh pemain Pokemon Go.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata dalam pada seseorang itu’ralit’ dan berseronok dengan permainan maya tersebut, mereka seharusnya tidak mengganggu aktiviti yang sedang berlangsung di sesuatu kawasan, dan pada masa sama menghormati privasi orang lain.

DISIPLINKAN DIRI

Beliau berkata pemain seharusnya meletakkan had dan mendisiplinkan diri ketika bermain permainan itu bagi memastikan ia tidak mendatangkan kemudaratan sama ada terhadap orang lain dan juga diri sendiri.

Tambahnya, sama seperti permainan lain yang memerlukan pemainnya menumpukan hampir seluruh perhatian kepada skrin, ia boleh meningkatkan risiko seseorang itu terlibat dalam kemalangan, bencana mahupun jenayah.

“Selama seseorang itu tahu bahawa ia hanya permainan, ia tidaklah memudaratkan… tetapi apabila seseorang telah obses hingga menyebabkan ketagihan, ia boleh mendatangkan bahaya pada dirinya ataupun orang sekitarnya.

” Dengan konsep kamera ‘augmented reality’ (AR) menerusi perisiannya, seseorang pemain yang leka dan lalai mendisiplinkan diri boleh mengundang bahaya fizikal atau mental terhadap diri sendiri,” katanya kepada Bernama.

Kamal Affendi berkata pada masa sama tidak mustahil juga ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan Pokemon Go sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada perlakuan jenayah.

“Saya tidak terkejut jika ada yang mendakwa sedang bermain Pokemon apabila ditahan polis kerana berkelakuan aneh terutamanya di kawasan tersembunyi, gelap atau mencurigakan.

“Ingin saya ingatkan kepada pemain Pokemon Go agar tidak bermain pada waktu luar puncak seperti tengah malam atau di lorong sunyi… jangan pergi ke ‘PokeStop’ atau ‘PokeGym’ yang terpencil bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Katanya, bagi premis yang ditanda sebagai ‘PokeStop’ atau ‘PokeGym’, pemiliknya boleh memohon kepada syarikat aplikasi itu supaya geotag itu dikeluarkan sekiranya berasakan privasi mereka terganggu atau keselamatan terjejas.

BUKAN APLIKASI GPS PERTAMA

Dalam pada itu, editor di JomGaming.my, Badd Anuar berkata Niantic Inc, syarikat pembangun Pokemon Go, mungkin boleh memasukkan ciri-ciri ‘parental control’ agar ibu bapa dapat mengawasi dan mengehadkan tempoh bermain permainan itu terhadap anak-anak.

“Yang dewasa pula perlu sedar ini hanyalah permainan, jangan terlalu leka kerana ada banyak lagi isu kehidupan nyata yang perlukan perhatian. Permainan maya dan akaun laman sosial menyebabkan masalah ‘phubbing’, iaitu individu terlalu tertumpu kepada gajet hingga mengabaikan orang sekeliling.

“Untuk saya, saya jadikan Pokemon Go sebagai permainan kesihatan… saya buru Pokemon ketika jogging atau bersenam, atau ketika tersangkut dalam kesesakan jalan raya atau ketika menunggu pengangkutan awam,” katanya.


Beliau berkata Pokemon Go bukanlah aplikasi pertama atau satu-satunya yang menggunakan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) sebagai platform. Aplikasi lain antaranya Waze, aplikasi jogging, selain permainan maya seperti Ingress, Zombies dan Geocaching.

“Banyak lagi permainan lain yang kurang terkenal tetapi tetap menggunakan medium GPS, cuma pemainan GPS lain tidak mempunyai tarikan seperti Pokemon… Pokemon dicipta untuk kelihatan comel dan menarik bagi semua peringkat umur dan jantina.

“Tarikan utama bagi Pokemon Go semestinya watak-watak Pokemon itu sendiri. Disertakan dengan ‘gameplay’ (cara permainan) yang mudah, ia sememangnya kombinasi menarik dalam sebuah permainan mobil hingga digilai,” katanya.

Beliau berkata sebelum adanya Pokemon Go, segala data lokasi telah sedia ada dalam aplikasi perkhidmatan berasaskan lokasi seperti Google Maps dan Waze, yang mana pemetaan sudah pun berlaku sekian lama.

“Telefon pintar yang kita pakai setiap hari ini pun sudah merekod pergerakan kita melalui lokasi berasaskan perkhidmatan iOS dan Google. Hanya kerana populariti, Pokemon Go dijadikan kambing hitam dalam isu ancaman siber, jadi menyalahkan Pokemon Go adalah tidak adil.

“Sebaliknya pemain Pokemon Go hendaklah dididik…matikan kamera AR, jangan mainkan permainan maya itu di tempat sensitif dan jangan bermain ketika melakukan aktiviti berbahaya,” katanya.

ELAK KETAGIH

Bagi seorang penulis teknikal dan bekas pereka perisian Java, Norliza Aini Abd Samad, 31, permainan maya realiti itu menjadi terkenal kerana ia mengembalikan nostalgia generasi sepertinya yang membesar dengan menonton kartun berkenaan selain bermain permainan Pokemon melalui ‘Gameboy’.

Katanya, seperti zaman kegemilangan permainan maya lain sebelum ini yang menjadi kegilaan orang ramai seperti ‘Angry Birds’ dan ‘Candy Crush’, permainan Pokemon Go juga berjaya menarik hati seluruh warga dunia kerana perisiannya yang mampu menjadikan seseorang pemain itu ketagih untuk menangkap raksasa virtual itu, selain pelbagai ganjaran dalam permainan itu.

“Pemain perlu bergerak ke banyak tempat dan perlu berada di lokasi secara fizikal sama ada untuk memburu Pokemon atau menawan ‘PokeGym’ yang menyebabkan tempat-tempat tertentu dipenuhi dengan pemain Pokemon Go.

“Apabila ramai pemain berkumpul di tempat yang sama, boleh dikira merbahaya sekiranya tiada kawalan betul terhadap orang ramai. Ada pusat beli-belah yang meletakkan pengawal keselamatan untuk menjaga dan mengingatkan para pemain agar bermain dengan berhati-hati dan tidak mengganggu privasi orang ramai,” katanya sambil menambah Pokemon Go tidak berkongsi atau menunjukkan lokasi pemain kepada mana-mana individu atau pihak ketiga.

Norliza yang turut tidak terlepas daripada bermain permainan maya tersebut bagaimanapun mengehadkan masa tertentu bagi memastikan dirinya tidak terlampau obses dengan permainan itu bagi mengelakkan prestasi kerja menurun dan pergaulan dengan rakan-rakan menjadi renggang.

“Satu cara yang senang untuk mengawal daripada terlalu obses adalah saya selalu periksa tahap bateri. Apabila tahap bateri sudah tinggal peratusan tertentu, saya berhenti sekejap dan fikir jika hendak sambung lagi dengan pasang ‘powerbank’, atau cukup untuk ketika itu.

“Jika kita boleh gariskan peraturan atau sempadan sebelum memulakan ekspedisi atau aktiviti lain contohnya, pastinya kita juga boleh tetapkan had untuk bermain Pokemon Go sama ada ketika di rumah, waktu bekerja atau ketika bergaul dengan rakan-rakan terutamanya mereka yang tidak bermain permainan tersebut,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori