JAKARTA – Sebahagian besar jemaah haji Indonesia berasal dari wilayah-wilayah terpencil dan langsung tidak pernah mempunyai pengalaman pergi ke luar negara, lebih-lebih ke tempat yang dianggap sebagai cukup jauh.
Pengetahuan mereka tentang peralatan canggih juga begitu terbatas sehingga kadangkala menyebabkan mereka tercengang apabila berada di Tanah Suci.Ă‚Â Itulah yang mungkin dialami oleh salah seorang jemaah haji yang berasal dari Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat.
Oleh kerana tidak mahu melepaskan sebuah beg silang yang digantung pada lehernya, jemaah berkenaan dilaporkan sanggup nekad memasuki mesin pengimbas yang lazim digunakan untuk memeriksa barangan kecil atau bagasi ringan yang dibawa penumpang.
Insiden lucu itu berlaku di kawasan pemeriksaan pihak kastam dan imigresen Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdul Malik Abdul Aziz di Madinah sewaktu menyaring ketibaan kumpulan jemaah haji yang pertama dari republik tersebut baru-baru ini.
“Ada jemaah dari Nusa Tenggara Barat dikesan masuk ke dalam mesin X-Ray. Gelagat itu membuatkan para petugas tidak jadi untuk memarahinya, malah tertawa,” menurut Pegawai Penyelenggaraan Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Abdul Djamil.
Insiden pelik sedemikian bukanlah yang pertama kali, dengan seorang jemaah Indonesia turut dilaporkan pernah memasuki sebuah mesin pengimbas bagasi pada musim haji tahun lalu dengan menggunakan alasan yang sama iaitu enggan berpisah dengan beg disandangnya.
Beg kecil tersebut memang penting bagi jemaah tersebut kerana lazimnya ia padat diisi dengan pelbagai dokumen-dokumen penting peribadi seperti pasport, wang tunai untuk kegunaan perbelanjaan harian atau barangan lain yang cukup berharga.
Para jemaah haji juga diberi peringatan supaya sentiasa menggantung beg tersebut pada leher mereka, maka mungkin kerana begitu patuh pada arahan itu, mereka lebih sanggup tidak menanggalkannya dan selamba memasuki terus mesin pengimbas bagasi.
Selain itu, sebahagian jemaah juga ada tidak memahami tentang peralatan yang sedia ada di bilik hotel tempat mereka menginap. Menurut Abdul Djamil, terdapat insiden bilik hotel jemaah dibanjiri air disebabkan alat ‘sprinkler’, yang memancutkan air jika terjadi kebakaran.
Rupa-rupanya ia digunakan sebagai tempat gantung atau ampaian semasa mereka mencuci pakaian. Beliau sering memberi pesan kepada para petugas supaya sentiasa menjelaskan kepada jemaah tentang fungsi dan manfaat peralatan yang disediakan di bilik-bilik hotel.
Tahun lalu, ada memasak di atas katil hotel dan mencetuskan kebakaran apabila api memercik namun mujur tiada terkorban.Ă‚Â Dengan pelbagai ragam, petugas haji perlu sabar membantu dan memberi penerangan sehingga masalah kecil dapat dihuraikan dengan baik.
Namun, menurut pengalaman Panitia Penyelenggara Ibadah Haji Kota Cirebon, Indonesia, Slamet terdapat pelbagai kelakuan para jemaah dari negara itu yang boleh membuat sesiapa sahaja geleng kepala.Ă‚Â Malah sebahagian daripadanya terpaksa melibatkan campur tangan polis.
Jemaah haji khususnya Jawa Barat adalah yang paling menyusahkan.Ă‚Â Mereka seringkali membawa pelbagai barangan yang tidak perlu kerana mahu berjimat.Ă‚Â Ada yang membawa periuk nasi, termos, berkotak-kotak rokok dan juga ‘ubat kuat’ untuk dijual di tanah suci.
“Rokok yang dibawa pula berkotak-kotak banyaknya. Demikian juga ubat kuat. Di tanah suci harganya adalah mahal, jadi mereka boleh menjualnya dengan harga lima kali ganda berbanding harga di Indonesia,” menurut Slamet yang dipetik media tempatan baru-baru ini.
Selain itu, pernah juga terjadi pada 2011, seorang petugas di Arab Saudi menjumpai beras dan periuk nasi di dalam beg seorang jemaah yang berasal dari Solo.Ă‚Â Ketua Sektor Petugas Ibadah Haji Indonesia, Aranto berkata, beg yang dibawa jemaah berkenaan terlalu berat.
“Rupa-rupanya, selepas diperiksa bukan sahaja pakaian, malah terdapat juga sekampit beras melebihi lima kilogram dan makanan kering serta telur.Ă‚Â Itu yang membuatkan beg jemaah ini adalah lebih berat berbanding beg-beg jemaah lain,” jelas beliau lagi.
Menurut salah seorang jemaah yang menginap di Hotel Holiday Villa, Madinah, jemaah itu membawa peralatan dan makanan tersebut bagi menyiapkan sarapan pagi setiap hari. Ujar jemaah tersebut:Ă‚Â “Kalau sarapan, saya hanya perlu masak mi segera atau nasi.”
Pada tahun 2014, kerajaan Arab Saudi menetapkan undang-undang baharu iaitu para jemaah haji tidak dibenarkan memasak makanan sendiri serta dikuatkuasakan sebagai mencegah daripada berlaku kebakaran dan ia turut dimaklumkan kepada para jemaah Indonesia.
Sekiranya jemaah haji tetap berdegil hendak memasak nasi atau membawa masakan sehingga mengeluarkan aroma yang amat kuat, sistem penggera kecemasan di bilik hotel tersebut akan berbunyi secara automatik,” menurut Ketua Daker Makkah, Endang Jumali.
Meskipun begitu, masih terdapat jemaah Indonesia yang tidak bersetuju dengan undang-undang itu dan menentangnya malah, seorang bakal jemaah yang didapati membawa sekitar setengah liter minuman keras hasil proses penapaian yang dimasukkan ke dalam botol.
Menurut jemaah berkenaan, minuman itu adalah ubat kuat, anti-penat supaya dia lebih bertenaga untuk menjalankan ibadah haji di tanah suci. Ia dijumpai petugas semasa melakukan pemeriksaan ke atas beg-beg jemaah, pada 26 Ogos lalu, lantas merampasnya sebagai bukti.
Menurut petugas keselamatan lapangan terbang, jemaah yang membawa minuman itu merupakan seorang lelaki berasal dari Sulawesi Barat. Minuman tersebut dirampas bukan sahaja kerana mengandungi alkohol malah boleh menyebabkan letupan dalam pesawat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA