MACAM-macam cara orang boleh buat fitnah dalam zaman ni, dengan hanya berpandukan muat naik dalam laman sosial pun boleh dijadikan cakap-cakap belakang orang.
Itu yang terjadi kepada aktor kacak, Fattah Amin yang didakwa sesetengah netizen dia mengamalkan hubungan sejenis (homoseksual) dengan penyanyi Fazli Zainal.
Perkara itu timbul hanya kerana gara-gara kekerapannya bergambar mesra dengan penyanyi itu menerusi laman Instagram.
Menjawab dakwaan tersebut, Fattah dipetik mStar berkata, “Sebenarnya saya malas hendak melayan gosip sebegini kerana ia akan menyebabkan perkara itu menjadi lebih besar selain tidak mendatangkan faedah.
“Bagaimanapun dakwaan dibuat oleh sesetengah blog dan forum yang mengambil gambar selfie kami itu di Instagram dan membuat kesimpulan kononnya kami ada hubungan istimewa sudah dikira sebagai fitnah.
“Fitnah yang disebarkan dengan tujuan mengaibkan pada saya bukan benda main-main kerana boleh buat orang percaya dengan apa yang dibaca tanpa mengetahui situasi sebenar.
“Rasanya gambar kami itu masih ada di Instagram Fazli dan pada saya dia tidak perlu memadam pun kerana ia sekadar gambar biasa di antara kawan,” katanya.
Fattah sebelum ini menjalin hubungan dengan pelakon manis bertudung Sherry Ibrahim namun percintaan mereka terputus di tengah jalan baru-baru ini.
Sementara itu, Fazli pula berkata dia tidak teragak-agak dan kini pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana blog yang menyiarkan artikel berbentuk fitnah melibatkan dirinya dan Fattah. – MYNEWSHUB.CC