FERRARI milik penyanyi rap antarabangsa, Tyga ditarik semula selepas bayaran ansuran kereta tersebut tidak dilunaskan selama beberapa bulan.
Menurut sumber ketika kereta tersebut ditarik, Tyga bersama teman wanitanya, Kylie Jenner sedang berada di sebuah kedai pameran kereta kerana mahu membeli sebuah lagi kenderaan baharu.
Selepas Ferrari mereka ditarik, pasangan itu dikatakan terpaksa menelefon rakan untuk membawa mereka pulang ke rumah.
Difahamkan, Tyga sudah menerima beberapa amaran kerana gagal membayar ansuran Ferrari tersebut sebelum ini namun tidak melunaskan pembayaran yang tertunggak.
Sebuah syarikat kereta juga telah memfailkan saman terhadap Tyga pada April lalu kerana gagal melunaskan bayaran dua buah kereta mewahnya, Lamborghini dan Bentley Muslanne.
Masalah kewangan Tyga dikatakan semakin memuncak apabila dia dilaporkan mempunyai beberapa saman berhubung kegagalannya membayar sewa rumah dan bangunan yang bernilai hampir USD500,000 (RM 2,035,625).
Media di Amerika Syarikat melaporkan penyanyi rap itu hanya mempunyai harta kekayaan di antara USD1 juta (RM 4,071,250) hingga USD8 juta (RM 32,570,000) sahaja. – MYNEWSHUB.CC