MASALAH obesiti atau kegemukan melampau semakin meruncingkan di Malaysia hari ini.
Dengan angka semakin meningkat iaitu 16.8 juta atau 60 peratus daripada 28 juta penduduk menghidap masalah itu, Malaysia kini di tangga keenam di rantau Asia Pasifik bagi masalah obesiti dan mendahului senarai di Asia Tenggara!
Obesiti juga menjadi punca kepada beberapa penyakit merbahaya seperti masalah kardiovaskular, diabetes, darah tinggi dan strok.
Bagaimanapun, morbiditi berat badan ini boleh dicegah dengan melakukan aktiviti senaman dan melalui tabiat pemakanan yang seimbang.
“Salah satu kaedah paling efektif untuk mengelak daripada obesiti adalah dengan bersenam secara konsisten,” kata Weng Honn, 29, yang merupakan pengasas dan pelatih kecergasan di Fitsome, Damansara Perdana.
“Jika anda seorang yang obes dan benar-benar mahu menguruskan badan dan meningkatkan kecergasan, maka senaman haruslah dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.”
Selain itu, tabiat pemakanan yang tinggi gula, garam dan lemak juga perlu diubah agar berat badan semakin berkurang sekaligus mampu menjalani kehidupan yang lebih sihat dan aktif.
“Dalam proses menguruskan badan. penghidap obesiti perlulah menukar pola pemakanan mereka,” jelas Yong Shu Ying, 25, pelatih kecergasan wanita di Fitsome.
“Ini bermakna jika dahulunya mereka mengamalkan diet tinggi lemak, gula dan garam seperti makanan segera dan snek seperti keropok dan sebagainya, kini mereka haruslah mengalas perut dengan memakan makanan yang bernutrien tinggi seperti buah-buahan dan bijirin.”
Bagaimanapun, niat untuk mengubah gaya hidup sebenarnya harus tercetus dahulu melalui kesedaran.
Maka, untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya obesiti, Fitsome akan melancarkan program Obesity Free Asia di studio mereka di 56-2, Jalan 8/5b, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 9.30 pagi hingga 3.30 petang.
Dalam majlis tersebut, pengunjung boleh mendapatkan informasi tentang program-program kecergasan yang ditawarkan, selain mendengar perkongsian oleh pakar-pakar kesihatan.
Selain kelas-kelas persendirian dan kumpulan, Fitsome turut menganjurkan sesi senaman percuma bagi meningkatkan semangat mereka yang tidak mahu lagi hidup sebagai penghidap obesiti, selain memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya gaya hidup yang sihat. -Â MYNEWSHUB.CC